Sebagai ibu bapa, tiada perkara yang lebih penting yang kita mahukan daripada kesihatan dan kegembiraan anak-anak. Walau bagaimanapun, bayi berusia 2 tahun dari China ini telah didiagnosis menghidap HIV selepas dia dibawa ke sebuah hospital untuk mengeluarkan serpihan buah epal yang tersangkut ditekaknya. Malah bayi malang itu juga ditahan di unit rawatan rapi (ICU) selama 6 minggu.

Menurut South China Morning Post, kejadian ngeri itu bermula pada hujung tahun lepas semasa bayi tersebut dibawa ke hospital Kesihatan Guiyang dan Perancangan Keluarga di Guiyang.


Kredit: Word of Buzz

Ibu bayi itu yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarga, Tang berkata kali pertama mereka membawa bayi mereka ke hospital berkenaan, sesi rawatan tersebut berakhir dalam masa sejam.

Kemudian doktor memberitahu mereka bahawa anak mereka terpaksa ditahan di unit rawatan rapi. Menurut Tang lagi, semasa anaknya di hospital, doktor telah melakukan ujian rutin dan endoscopy termasuklah pemindahan darah namun tidak mengesan HIV positif.



Kredit: The Cover

Sehari selepas membawa bayi lelaki mereka pulang ke rumah, ibu bapa tersebut menyedari anak mereka tidak sembuh sepenuhnya lalu membawa si kecil ke hospital semula.

Bayi lelaki tersebut ditahan di ICU selama 2 minggu namun ibu bapanya merasakan ada sesuatu yang tidak kena lalu memutuskan untuk memindahkan bayi mereka ke hospital lain di Chongqing.


Kredit: South China Morning Post

Di hospital kedua, doktor menjalankan ujian darah dan begitu terkejut selepas mendapati bayi tersebut menghidap HIV positif. Ibu bapa bayi itu juga menjalani ujian darah namun keputusan kedua-duanya adalah negatif.



Kredit: The Cover

Mereka meminta Suruhanjaya Kesihatan Guiyang dan Perancangan Keluarga untuk menyiasat isu ini namun pihak tersebut mengatakan tiada masalah yang berlaku ketika hospital pertama menyediakan darah untuk proses pemindahan darah kepada bayi berkenaan.



Kredit: South China Morning Post

Kecewa dengan penjelasa tersebut Tang dan suaminya membawa isu ini ke Suruhanjaya Kesihatan Negara dan Perancangan Keluarga. Menurut Suruhanjaya Kesihatan Guiyang dan Perancangan Keluarga, penyiasatan tersebut mengambil masa selama 10 hari.

Pihak penguasa kesihatan bandar berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu bahawa semasa bayi tersebut dirawat di hospital dia mengalami kesukaran bernafas dan berada dalam keadaan kritikal. Disebabkan itu, dia dibawa ke ICU dan dirawat selama 25 hari.

Menurut mereka juga, semua 33 orang staf perubatan yang terlibat secara langsung dengan bayi tersebut turut menjalani ujian darah namun semua keputusan menunjukkan negatif. Mereka juga turut menjalankan ujian terhadap sampel darah (yang digunakan untuk pemindahan darah) namun tidak menjumpai apa-apa yang luar biasa.


Kredit: South China Morning Post

Seorang jurucakap bagi pihak Suruhanjaya Kesihatan Guiyang dan Perancangan Keluarga berkata mereka berharap penyiasatan adil dilakukan oleh Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Dia juga menyatakan sekiranya bayi tersebut dijangkiti HIV disebabkan kelalaian pihak hospital, mereka akan bertanggungjawab. Tetapi jika perkara tersebut tiada kena mengena dengan mereka, mereka mahukan keadilan yang sewajarnya.

Keputusan HIV positif terhadap bayi tersebut benar-benar memeranjatkan netizen dan masing-masing bersimpati dengan ibu bapa berkenaan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa netizen mengatakan mungkin keputusan HIV itu tidak betul dan meminta ibu bapa tersebut melakukan pemeriksaan dengan pakar lain.

Sumber: The Star Online, World of Buzz, South China Morning Post, The Cover