Seramai 270 pekerja Bangladesh mendakwa mereka telah ditipu oleh ejen tempatan dengan kerugian berjumlah RM1.8 juta. Mereka membayar jumlah berkenaan dengan harapan pihak ejen tersebut akan mendapatkan permit kerja yang sah untuk mereka sebagai sebahagian daripada program pengambilan semula Jabatan Imigresen.

Salah seorang mangsa ialah Imran Haq Uzzal mengatakan dia dan rakan-rakan senegara yang lain telah menyerahkan pasport dan dokumen lain yang berkaitan kepada ejen. Bukan itu sahaja, malah setiap dari mereka turut membayar antara RM7,200 dan RM8,000 kepada ejen berkenaan namun tiada apa-apa tindakan.


Kredit: The Star Online

Apa yang lebih mengecewakan mereka ialah, mereka hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu kembali semula ke tanah air mereka selepas tidak diterima masuk ke dalam program pengambilan semula yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen.

“Saya telah bekerja di Malaysia selama hampir tujuh tahun.”

“Apabila Jabatan Imigresen memperkenalkan program pengambilan semula, saya melihatnya sebagai peluang keemasan untuk terus bekerja di negara ini,” kata Imran pada sidang akhbar pada 12 Ogos yang lalu.

Menurut Imran lagi, mereka telah ke syarikat ejen yang berpangkalan di Klang Valley beberapa kali untuk bertanyakan status permohonan mereka sehingga sebelum tamatnya tempoh pengambilan semula iaitu pada 30 Jun yang lalu.


Walau bagaimanapun usaha tersebut hanya sia-sia kerana pihak ejen sering kali memberikan alasan kepada mereka.

Menurut Mohammad Alagir yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut, harapan mereka musnah apabila tempoh pengambilan semula tamat tetapi mereka tiada permit. Bukan itu sahaja, dia mengatakan pihak ejen ada memberi amaran kepada mereka supaya tidak melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.


Kredit: The Star Online/Youtube

Kumpulan pekerja asing yang kebanyakannya dari sektor pembinaan di Lembah Klang dan negeri-negeri lain berkata, mereka telah melaporkan perkara tersebut kepada polis, pihak berkuasa Imigresen dan kedutaan mereka.


Kata Mohammad lagi, mereka mahukan keadilan dan jika tidak dapat membantu mereka mendapatkan permit, mereka mahu pasport tersebut dipulangkan supaya mereka dapat pulang ke tanah air.

Program pengambilan semula untuk pendatang tanpa izin bermula pada 15 Februari 2016. Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendatang tanpa izin yang telah diberikan keizinan kerja yang sah akan dibenarkan bekerja di sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan di bawah program itu, yang berakhir pada 30 Jun.