Kes yang agak luar biasa berlaku di China pada minggu lalu, seorang lelaki telah memecah masuk sebuah kedai roti untuk “mencuri kek”.

Menurut South China Morning Post, pemilik kedai roti tersebut yang dikenali sebagai Wang memberitahu Jiangsu Television pada 3 Ogos bahawa dia melaporkan kes itu kepada pihak polis selepas mendapati seorang lelaki kelihatan seperti mahu mencuri kek di kedainya.



Kredit: SCMP

Walau bagaimanapun, apabila dia menonton rakaman kamera litar tertutup CCTV mengenai kejadian itu, dia melihat bahawa lelaki tersebut tidak mencuri apa-apa.

Wang memutuskan untuk segera menarik balik laporan polis yang dibuatnya apabila dia melihat tiada apa yang berlaku.

Lelaki tersebut yang kelihatan seperti berusia 30-an, kelihatan membandingkan empat jenis kek berbeza yang diletakkan di atas kaunter juruwang.



Kredit: NextShark

Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut menyedari bahawa kek itu hanya model untuk paparan dan bukannya kek sebenar.

Daripada menuju ke mesin juruwang untuk mencari sesuatu yang lain untuk mencuri, lelaki itu dilihat meletakkan kek-kek tersebut kembali ke rak paparan dan berjalan keluar daripada kedai tanpa mengambil apa-apa pun.

Menurut Wang, nampaknya dia bukan memecah masuk ke kedainya bertujuan untuk mencuri wang tunai, tetapi sebaliknya hanya mahu mencuri kek.

“Mungkin keluarganya terlalu miskin (tidak mampu untuk membeli kek),” kata pemilik kedai roti itu.


Wang kemudian berkata bahawa dia ingin menawarkan kepada lelaki itu kek percuma jika dia sanggup kembali ke kedai rotinya.